Mengukuhkan hubungan pendidikan tinggi antara Asia Tenggara, Afrika Utara





Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Julai. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Cadi Ayyad University (UCA), Maghribi telah merasmikan kerjasama mereka dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 Julai 2025.


MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor, Dr. Hazri Haji Kifle bagi pihak UBD; manakala Presiden UCA, Blaid Bougadir pula menandatangani bagi pihak UCA.


Majlis tersebut disaksikan oleh pegawai kanan, ahli akademik, dan wakil kedua-dua institusi.


Presiden UCA dan delegasinya berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi menghadiri Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) Ke-53, yang diadakan dari 1 hingga 3 Julai 2025 di The Empire Brunei.


MoU tersebut menggariskan beberapa bidang kerjasama, termasuk pertukaran pelajar dan kakitangan, penerbitan akademik bersama, inisiatif penyelidikan, serta peluang latihan industri. Kerjasama tersebut mencerminkan visi bersama untuk mengukuhkan hubungan pendidikan tinggi antara Asia Tenggara dan Afrika Utara, sambil memupuk pembelajaran rentas budaya dan inovasi.


Dr. Hazri dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa UBD berbangga untuk mengambil langkah penting tersebut sambil menekankan bahawa kecemerlangan akademik, kepimpinan serantau dan perspektif global UCA sejajar dengan aspirasi UBD.


Beliau seterusnya berkongsi bahawa UBD berharap untuk memulakan hubungan yang bermakna dan saling memperkayakan bersama UCA, satu kerjasama yang akan menghasilkan penyelidikan yang berkesan, pertukaran akademik, mobiliti pelajar dan perkongsian pengetahuan merentas sempadan.


Sementara itu, Blaid Bougadir pula menyuarakan keyakinannya terhadap potensi kerjasama tersebut dengan UBD, walaupun masa yang singkat sejak kedua-dua institusi mula-mula menjalin hubungan.


Beliau seterusnya menyatakan semangatnya untuk meneroka peluang kerjasama dan berharap untuk membina hubungan yang kukuh dan berkekalan antara kedua-dua universiti.


Kerjasama tersebut menekankan komitmen kedua-dua universiti untuk memajukan pendidikan tinggi dan kecemerlangan penyelidikan, meningkatkan penglibatan serantau dan global, pertukaran pelajar dan kakitangan dan menyumbang kepada matlamat pembangunan yang lebih luas bagi NBD dan Kerajaan Maghribi.


Dengan perjanjian tersebut, UBD dan UCA mengharapkan kerjasama yang dinamik dan berkekalan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti akademik dan mengeratkan hubungan dua hala.


Close